Tuesday, September 24, 2013

Terapi Minda anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam

      Tanggal 13 dan 14 September 2013 yang lalu telah berlangsung dengan jayanya program Terapi Minda anjuran bersama Kelab Remaja ISMA (KRIM) Shah Alam dan SMK Seksyen 27 bertempat di SMK Seksyen 27, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Sejumlah 101 orang peserta yang terdiri daripada 47 orang pelajar lelaki dan 54 pelajar perempuan tingkatan 5 yang beragama Islam telah menyertai program sebagai salah satu persiapan untuk menduduki peperiksaan SPM yang bakal bermula pada bulan November akan datang.



 Objektif program ini adalah untuk memberi ruang kepada para pelajar untuk menerapkan diri dengan pengisian-pengisian rohani yang bermanfaat, meningkatkan  penghayatan terhadap islam sebagai agama yang syumul serta sirah-sirah nabawiyah yang mampu menjadi pedoman kepada situasi-situasi kehidupan terkini, dan memberi pendedahan kepada para pelajar akan adab-adab seorang muslim dengan maha pencipta.


 Program ini bermula pada jam 3.00 petang selepas solat jumaat dan diikuti dengan taklimat oleh ketua program. Kemudian, aktiviti pembentukan kumpulan dan ice breaking berbentuk ‘outdoor’ dijalankan bagi memberi ruang kepada para fasilitator dan pelajar-pelajar untuk berkenal-kenalan. Penulis blog terkenal, saudara Asyraf Farique telah dijemput untuk memberikan tazkirah maghrib bertajuk “Imanku, Taqwaku” yang merungkai naik-turun iman dalam diri seseorang remaja. Aktiviti Jejak Sirah yang berunsurkan ‘treasure hunt’ dijalankan pada malam program sebagai salah satu cara untuk mendedahkan pelajar dengan sirah dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW.



Pada hari kedua program, aktiviti qiamulail telah diadakan seawal jam 4.30 pagi. Para pelajar telah didedahkan dengan fadhilat solat sunat tahajud, solat sunat taubat dan solat sunat hajat serta digalakkan untuk mendirikannya sempena peperiksaan yang bakal dihadapi. Seterusnya, pada jam 8 pagi ceramah Islam itu Indah telah disampaikan oleh Ustaz Fahmi Bazlan B Muda. Ceramah ini memberi pencerahan mengenai Islam sebagai agama yang mudah lagi syumul kepada para peserta. Slot terakhir diserikan dengan forum Terimalah Taubatku, dengan panelis jemputan saudara Adnin Roslan, pelajar Tahun Ulum Islam tahun 1 Universiti Al-Azhar dan, Dr. Syafaf, graduan perubatan daripada Universiti Kaherah.




 Majlis penutup program diadakan secara ringkas dengan ucapan penutup oleh kaunselor sekolah, Pn Nor Aini dan upacara penyampaian hadiah kepada kumpulan lelaki terbaik dan kumpulan perempuan terbaik.

Pihak sekolah dan KRIM Shah Alam juga bertukar plak sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan. Semoga program ini banyak memberi input dan impak positif kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 SMK Seksyen 27 Shah Alam sebagai sebahagian daripada persiapan rohani untuk menduduki peperiksaan SPM pada bulan November akan datang.

0 comments:

Post a Comment